LIGA SUPER MSIA

The Titans tekad lunas dendam ke atas Kelantan

Penulis Jemputan 11/07/2017 | 04:16 MYT
Penyerang T-Team, Nor Hakim Hassan, bertekad menambah koleksi jaringan peribadinya ketika menentang Kelantan, malam ini, sebagai membalas dendam kekalahan besar 4-2, Mac lalu.
Hakim adalah antara peledak tempatan yang konsisten buat pasukan The Titans apabila sudah mengumpul lima gol dalam saingan Liga Super.
Dia juga memainkan peranan penting dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan dalam aksi Piala Malaysia yang berkesudahan 3-3, tempoh hari.
Justeru, Hakim berasakan dia dalam aksi terbaik untuk terus menyumbang kepada jentera hadapan skuad T-Team apabila melayani kunjungan Kelantan di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu.
"Kami akan cuba menampilkan permainan terbaik.
"Saya akan kekal di posisi yang sama, cuma apabila diberi kepercayaan oleh jurulatih, kami perlu membantu pasukan," katanya.
Hakim dijangka akan akan bergandingan dengan penyerang import, Dilshod Sharofetdinov dan Yannick N'Djeng, di bahagian serangan.
Yannick merupakan pemain baru yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), Mei lalu, untuk menggantikan Farhod Tadjiyev yang ditimpa kecederaan.
Baru sahaja beraksi dalam tiga perlawanan, Yannick mengakui masih terlalu awal untuk membentuk keserasian bersama pemain sedia ada.
"Sebaik sahaja saya tiba di sini, semua orang membantu saya untuk menyesuaikan diri.
"Selepas tewas dua kali dan meraih satu kemenangan, saya harapkan kemenangan akan melonjakkan kami," ujar pemain dari Cameroon itu.
;