BOLA SEPAK
The Titans enggan kecewa lagi
Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, optimis pasukannya mampu mencatat kemenangan pertama dalam aksi Liga Super bertemu Pulau Pinang di Kuala Terengganu, malam ini.
Jurulatih itu berkata semangat juang pemain-pemainnya tidak pernah luntur walaupun masih tercari-cari rentak terbaik dalam dua perlawanan lalu.
“Selepas dua perlawanan, pasukan ini masih belum berada pada tahap terbaik kerana ada pemain yang letih, jadi kami perlu menumpukan kepada latihan pemulihan.
Iklan
“Walaupun beraksi tanpa kelibat tiga pemain yang dipanggil ke skuad B-22 Malaysia, pemain-pemain lain mampu menggalas kekosongan itu dan saya sudah mempersiapkan strategi untuk berdepan Pulau Pinang.
“Moral para pemain masih belum terganggu meskipun tewas 0-5 minggu lalu. Malah, mereka sangat bersemangat menjalani latihan untuk mengubat kekecewaan itu,” ujar Rahmad.
Dengan kedua-dua pasukan masih memburu kemenangan pertama musim ini, Rahmad akur sebarang keputusan selain tiga mata akan menyaksikan mereka terus ketinggalan dengan pasukan atasan.
“Kami sangat memerlukan kemenangan ini kerana ia penting untuk meningkatkan moral pasukan memandangkan dua perlawanan sebelum ini tidak berpihak kepada T-Team.
“Pulau Pinang sudah tentu dalam motivasi terbaik kerana mereka juga mahukan kemenangan pertama seperti kami,” tambah pengendali berasal dari Indonesia itu.
Must-Watch Video