BOLA SEPAK
Tidak masuk akal -- Cristiano Ronaldo nafi spekulasi kembali ke pangkuan Sporting
Cristiano Ronaldo menafikan spekulasi kepulangannya ke Sporting CP dengan berkata adalah tidak masuk akal untuk dia kembali ke kelab zaman remajanya itu.
Pemenang Anugerah Ballon d'Or lima kali berkenaan, yang menyambut hari lahirnya yang ke-40 semalam, memulakan karier gemilangnya bersama Sporting pada 2002 sebelum menyertai Manchester United setahun kemudian.
Ronaldo kemudian memenangi tujuh gelaran liga domestik, lima kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dan empat Piala Dunia Kelab spanjang bersama United, Real Madrid dan Juventus, selain turut mengetuai Portugal menjuarai Euro 2016.
Selepas kepulangannya di Old Trafford tidak bertahan lama, penyerang itu kemudian menyertai Al-Nassr pada 2023 dan telah menghasilkan 81 gol dan 19 bantuan jaringan sepanjang 89 penampilan bersama pasukan Liga Pro Saudi itu.
Kontrak Ronaldo akan tamat pada penghujung musim ini dan dia dilaporkan akan melanjutkan tempoh setahun lagi bersama pasukan bimbingan Stefano Pioli berkenaan.
Apapun, kepulangan ke pangkuan Lisbon tidak pernah berada dalam fikirannya.
"Tidak, tak mungkin, ia tidak masuk akal," katanya dalam satu temu bual yang dikongsikan The Nassr Zone.
"Karier saya bermula di Portugal dan bukan kerana saya tidak gemar bola sepak Portugal atau saya fikir mereka tiada kualiti. Ia kerana setiap perkara ada waktu dan batasannya dan sejujurnya saya tidak pernah terfikir mengenainya."