LIGA SUPER MSIA

Tidak cukup persediaan punca Melaka United tewas kepada PJ City

Muzaffar Musa 06/03/2022 | 13:01 MYT
Ketua jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic, mengakui persediaan singkat menjadi punca pasukannya tewas tipis 0-1 kepada Petaling Jaya City FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Petaling Jaya semalam.
Jaringan gemilang S. Kumaahran dalam babak pertama sudah cukup untuk memberikan langkah kanan buat PJ City memulakan saingan liga musim ini.
Jika dibandingkan, pasukan Lembah Klang itu diperkuatkan dengan 100 peratus tenaga tempatan dan jauh berbeza dengan barisan pemain import ternama milik Melaka United seperti penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun, selain Sony Norde, Adriano dan Emmanuel Oti.
Kekalahan itu dilihat sebagai sesuatu yang mengejutkan tetapi Vidakovic berkata ia merupakan sesuatu yang dijangka berdasarkan persediaan singkat pasukannya.
"Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan, musim ini bermula terlalu awal kerana kami memulakan pramusim dengan amat lewat," katanya seperti yang dipetik Astro Arena.
"Saya sedar kami akan bergelut kerana ramai pemain tiba lewat dan secara praktikalnya, pemain import kami hanya tiba 10 hari sebelum liga bermula.
"Dan kami juga mempunyai ramai pemain baru dan banyak perkara baru.
"Kami masih terlalu jauh daripada apa yang kami mahu lakukan," katanya.
;