Tidak beraksi seperti biasa dilihat antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan 0-5 skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada Kawasaki Frontale dalam aksi Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Todoroki Atheletic malam tadi.

Malah, pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari, jelas bernada kecewa susulan kekalahan itu dan turut mengesahkan pasukannya sudah tersingkir daripada saingan ACL kali ini biarpun masih berbaki satu perlawanan.

“Bagi kami (perlawanan) malam ini agak berbeza, di mana kami tidak beraksi dengan ‘permainan’ yang kami inginkan.

“Ini bermakna, kami (JDT) telah tersingkir daripada saingan kali ini biarpun masih ada satu perlawanan untuk diharungi selepas ini.

“Biarpun nampak kami beraksi dengan yakin (di awal permainan), kami tidak beraksi sebagaimana yang sepatutnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan berkenaan, gawang JDT bolos seawal minit kelapan menerusi jaringan Akihiro Ienaga sebelum Leandro Damiao menanduk masuk gol kedua apada minit ke-50 dan disusuli Marchinho pada minit ke-60.

Pemain gantian, Yu Kobayashi, kemudiannya menjaringkan gol keempat pada minit ke-69 sebelum pemain pertahanan, Miki Yamane, meledak gol kelima pada minit ke-88 bagi melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah.

Skuad Harimau Selatan itu bakal mengharungi satu lagi aksi Kumpulan I berdepan pasukan tercorot, BG Pathum United, di Stadium Sultan Ibrahim pada 12 Disember depan.

Sementara itu, Solari menyifatkan skuad kendaliannya itu telah beraksi dengan baik, namun dilihat hilang tumpuan secara tiba-tiba hingga menyumbang kepada kekalahan berkenaan.

“Keyakinan itu ada, namun secara tiba-tiba kami seolah-olah hilang tumpuan. Tidak ada lagi ulasan lanjut berhubung perkara itu,’ katanya.

--Sinar Harian