Tiada yang mustahil -- Safee Sali teruja semangat tinggi CEO Harimau Malaya mahu ke Piala Dunia

Muzaffar Musa
Januari 20, 2025 18:50 MYT
Bekas penggempur sensasi negara, Safee Sali, teruja dengan semangat tinggi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Friend, yang bercita-cita untuk membawa Malaysia ke Piala Dunia.
Tampak menolak ia sebagai angan-angan mat jenin, Safee ketika ditemubual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, turut berkongsi mengenai spekulasi dua pemain warisan dari Sepanyol yang bakal memperkuatkan skuad kebangsaan menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Asia bermula Mac ini.
"Piala Dunia sememangnya sasaran terulung buat kesemua pasukan kebangsaan.
"Dan untuk layak ke Piala Dunia, sudah pasti kita perlu menghadapi dan menguasai pentas Asia terlebih dahulu.
"Bagi saya, berdasarkan apa yang dirancangkan Harimau Malaya, jika ia di landasan yang betul, dengan semua pemain atau apa sahaja projek yang dilakukan untuk memperkuatkan pasukan, saya rasa tiada apa yang mustahil jika semua pihak bersatu dan bergerak ke arah matlamat yang sama," katanya.
Turut mencuri tumpuan dalam revolusi Harimau Malaya adalah perkhabaran mengenai enam hingga tujuh pemain berdarah warisan negara yang kini sedang berada dalam radar skuad kebangsaan.
Dua daripada pemain dalam senarai itu ialah Naim Garcia dan Monchu Rodriguez, yang pernah bermain di Akademi Barcelona.
Safee menambah: "Kalau pernah dengan Barcelona sudah pasti ia satu perkhabaran yang menarik, baik belum tentu lagi.
"Kerana kita tahu Akademi Barcelona sudah menghasilkan ramai pemain yang berkualiti, jadi ia akan menjadi satu jangkaan yang tinggi buat peminat, yang mengharapkan mereka dapat membantu Harimau Malaya."
#bola sepak #Harimau Malaya #Safee Sali #Robert Friend
;