SERIE A

Tiada yang mampu mencapai harga Belotti -- Cairo

Penulis Jemputan 03/09/2017 | 01:34 MYT
Torino menerima beberapa tawaran bagi mendapatkan pemain penyerang, Andrea Belotti, namun tiada yang mampu mencetuskan kontrak pelepasannya yang bernilai GBP92 juta (RM508 juta), menurut presiden kelab, Urbano Cairo.
Pemain berusia 21 tahun itu menyumbat 26 gol dalam 35 penampilan dalam Serie A musim lalu,sekaligus menjadikan dirinya antara sasaran beberapa kelab gergasi, antaranya, Milan, Chelsea, Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG).
Cairo -- yang telah menyuntik kestabilan terhadap Torino sejak mengambil alih pasukan itu 12 tahun lalu -- berasa bangga kerana berjaya memastikan pemain itu kekal buat tempoh setahun lagi.
"Saya tidak pernah bimbang untuk kehilangan khidmatnya. Saya yang memutuskan untuk menyimpan Belotti melainkan ada sesiapa yang sanggup membayar GBP92 juta," Cairo memberitahu Radio Sportiva.
"Disebabkan tiada siapa yang menawarkan harga yang sewajarnya, saya kekal tenang. Dia akan kekal bersama kami untuk semusim lagi. Kami mengekalkan dia, Adem Ljajic, Iago Falque, Daniele Baselli, Antonio Barreca, dan Afriyie Acquah serta Joel Obi.
"Kami mendapat beberapa tawaran tetapi kami berjaya mengekalkan pemain teras."
Tawaran Chelsea untuk mendapatkan Davide Zappacosta sekitar GBP25 juta ternyata terlalu sukar untuk ditolak Cairo di samping membenarkan Fiorentina mendapatkan Marco Benassi dengan nilai perpindahan GBP9 juta.
Cairo mendakwa urusan perpindahan pemain kelab itu telah mendapat berkat daripada pengendali, Sinisa Mihajlovic.
"Dengan hati yang berat, kami melepaskan Marco Benassi dan Zappacosta," kata Cairo.
"Chelsea membuat tawaran yang sukar ditolak bagi mendapatkan Zappacosta.
"Jurulatih, Sinisa Mihajlovic, menghubungi saya dan mengucapkan terima kasih di atas kejayaan kami dalam jendela perpindahan pemain."
;