Tiada Salah? Kami yakin boleh! -- Van Dijk
Ammar Hakim
Disember 28, 2023 11:03 MYT
Disember 28, 2023 11:03 MYT
Kapten Liverpool, Virgil Van Dijk, percaya Liverpool mampu kekal cemerlang dalam ketiadaan Mohamed Salah walaupun pemain kebangsaan Mesir itu merupakan ancaman utama hampir sepanjang musim.
Salah bakal meninggalkan skuad Liverpool untuk khidmat skuad antarabangsa dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) awal tahun hadapan, dan Liverpool berkemungkinan tanpa khidmatnya selama sebulan.
Van Dijk meletakkan keyakinan terhadap kemampuan jentera serangan Liverpool untuk memastikan pasukan kekal sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris.
Dia berkata, “Ia sentiasa penting untuk pemain di hadapan untuk menjaringkan gol. Saya gembira untuk Darwin Nunez (selepas perlawanan bertemu Burnley). Diogo Jota, ia adalah cerita yang sama. Ia bagus untuk melihat pemain kembali menyumbat jaringan,” kata pemain pertahanan Belanda itu.
“Saya juga ingin mengatakan bahawa Cody Gakpo adalah seorang pemain yang cemerlang, terutamanya pada separuh masa pertama. Ia cukup bagus menyaksikan mereka bermain dengan baik. Setiap orang perlu terus memberikan semangat antara satu sama lain. Itulah satu-satunya cara kami boleh menjadi lebih baik.
“Kami perlu berhadapan dengan kehilangan Mo dan kami mempunyai pemain di jentera serangan yang boleh membuat perubahan. Mari kita lihat bagaimana kita menanganinya.”
Undi Best of 2023 di sini! #Bestof2023