Penyerang Bayern Munich Thomas Muller selesai menandatangai lanjutan kontrak dengan kelab itu sehingga Jun 2025.

Pemain berusia 34 tahun itu telah bersama Bayern sejak dia berusia 10 tahun termasuk penampilan sulung dalam pasukan utama untuk kelab itu pada tahun 2008.

Muller juga telah berjaya mengumpul 684 penampilan kompetitif untuk pasukan utama, meletakkan dirinya sebagai pemain kedua terbanyak melakukan penampilan dalam sejarah kelab.

Muller telah membantu Bayern Munich memenangi 12 kejuaraan Bundesliga, dua Liga Juara-Juara Eropah (EPL), Piala Dunia Kelab FIFA dan trofi Piala Super UEFA serta enam Piala DFB dan lapan Piala Super Jerman.

Di pentas antarabangsa, penyerang berbangsa Jerman itu berjaya memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil.

Muller, dalam satu kenyataan di laman web Bayern: “Saya gembira perjalanan karier saya bersama Bayern diteruskan. Saya mahu terus bermain agar kami kekal berjaya, sebagai satu pasukan.

“Adalah penting bagi saya untuk menjadi asas dan membantu mengemudi pasukan ke jalan yang diimpikan. Saya mahu menggembirakan peminat kami dengan jaringan gol, membantu mencipta gol, dedikasi saya terhadap setiap perlawanan, semangat saya untuk bola sepak – dan semoga dengan lebih banyak gelaran buat kelab.”

Pengarah sukan Christoph Freund menambah: “Kami sangat gembira bahawa Thomas Muller akan kekal di FC Bayern untuk satu musim lagi.

“Dia seorang pemimpin di dalam dan di luar padang, sentiasa menjadi contoh dan sangat berharga untuk seluruh pasukan. Muller kekal mendorong setiap pemain dengan sikap terbuka dan positifnya di dalam dan di luar padang.

“Cara dia bermain sangat bijak, untuk pasukan, dan dia sangat serba boleh dalam setiap bahagian dia bermain. Muller juga hampir tidak pernah cedera, sentiasa diturunkan dalam setiap perlawanan – hanya kualiti dan kebolehpercayaan yang dipersonifikasikan.”