Skip to main content

Bola Sepak

Thomas Frank galas tugas pengurus baharu Tottenham Hotspur

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

thomas-frank.jpg
Tottenham Hotspur mengesahkan pelantikan Thomas Frank sebagai pengurus baharu kelab itu selepas berjaya memikat pengendali dari Brentford berkenaan untuk menyertai projek baharu mereka di Utara London.

Pengumuman rasmi dibuat kelab tersebut semalam dengan menamakan Frank sebagai pengganti kepada Ange Postecoglou, yang dipecat hanya selepas 16 hari membawa Spurs menjulang trofi Liga Europa.

Ia merupakan trofi pertama kelab tersebut dalam tempoh 17 tahun menerusi kemenangan 1-0 ke atas Manchester United di Bilbao.

Menurut laporan ESPN, Tottenham turut mempertimbangkan calon lain termasuk pengurus Fulham, Marco Silva, dan jurulatih Bournemouth, Andoni Iraola, sebelum akhirnya memutuskan untuk memilih Frank berdasarkan falsafah bola sepak moden yang dibawanya.

“Dalam diri Frank, kami melihat seorang jurulatih yang progresif dan inovatif. 

"Dia mempunyai rekod cemerlang dalam pembangunan pemain dan pasukan. 

"Kami tidak sabar untuk melihatnya memimpin skuad dalam persiapan menghadapi musim baharu,” kata kenyataan rasmi kelab itu.

Walaupun Postecoglou meninggalkan kelab dengan trofi Eropah, prestasi hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris termasuk 22 kekalahan dan berda di kedudukan ke-17 musim lalu telah membayangi kejayaan tersebut, menjadikannya musim yang terburuk sejak Tottenham tersingkir dari liga pada tahun 1977.
 

Advertisement

Must Watch Video