Belum ada sebarang kontrak sah buat bintang Singapura, Khairul Amri Kamal, bersama Felda United, namun namanya sudah ada dalam perancangan Nidzam Jamil menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Sabtu ini.

Penyerang sejati itu sudah pun berada dalam rangka persiapan Felda United yang mahu meneruskan talian hayat dalam Piala FA selepas aksi pusingan pertama berakhir 3-3.

Khairul Amri secara lisannya sudah pun menyatakan kesediaan untuk bersama The Fighters, lantas Felda hanya perlu menunggu ketibaannya dalam masa terdekat.

"Felda terdesak untuk mendapatkan penyerang yang bagus.

"Secara dasarnya, Khairul Amri sudah bersetuju dengan surat tawaran Felda.

"Insya-Allah kami akan cuba selesaikan kontraknya dalam tempoh sehari dua ini," kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

Difahamkan, Khairul Amri dalam persediaan akhir untuk meninggalkan pasukannya, Tampines Rovers, dan di jangka tiba di Kuala Lumpur, esok.

Bagaimanapun, ura-ura Perak turut cuba memancing Khairul Amri dan perkhabaran itu mendapat perhatian pihak Felda yang mengharapkan pemain itu kekal dengan hasrat sebelum ini, iaitu untuk membantu Felda bagi tempoh satu setengah tahun.

"Secara dasarnya, dia telah menerima syarat dan terma kami. Jadi, kalau dia hadir esok, kami akan terus menandatangani kontrak.

"Kami faham Perak juga memerlukan penyerang yang baik, saya harap Khairul Amri akan kekal (dengan janjinya untuk menyertai kami)," tambahnya.