Tertanya-tanya, faham kenapa Malaysia ranking ke-132 dunia -- CEO skuad kebangsaan
Najmi Iman
Januari 16, 2025 09:12 MYT
Januari 16, 2025 09:12 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend, sedia membantu dan berkongsi falsafah serta ilmu pengetahuannya supaya dapat mengangkat bola sepak negara kembali ke persada tertinggi dunia.
Selain teruja membincangkan visi bersama pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang meyakinkannya untuk menjayakan penstrukturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Friend turut menggariskan panduan untuk membantu menaik taraf keberkesanan skuad negara menjelang pembaharuan yang bakal dilakukan.
Bekas pemain Kanada itu memaklumkan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang sudah dirangka untuk membawa Harimau Malaya ke hadapan.
"Semua perlu memahami mengapa Harimau Malaya berada di ranking ke-132 dunia. Kenapa belum layak ke Piala Asia?
"Saya tertanya-tanya. Saya perlu mengenal pasti kenapa.
"Daripada persoalan itu, kami harus merangka perancangan, strategi dan memikirkan bagaimana kami boleh memberikan kejayaan jangka masa panjang kerana saya tidak berada di sini untuk pelan yang singkat," katanya menerusi Youtube rasmi FAM.
Dalam masa sama, Friend menegaskan bahawa pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, Mac ini menjadi medan ujian pertama sambil dibantu oleh barisan staf berpengalaman.
"Kami mengumpulkan barisan kejurulatihan terbaik dunia seperti Dr. Craig Duncan selaku Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan selain kehadiran ketua jurulatih, Peter Cklamovski, yang pada saya merupakan salah seorang jurulatih terbaik di dunia.
"Aksi tersebut sangat penting. Bagaimana kami boleh memberi kejayaan.
"Kami mahu meningkatkan kekuatan dan mencapai jangkaan semua pihak.
"Sudah tentu, ia tidak akan berlaku dalam masa satu malam sahaja. Kami mahu melonjakkan momentum untuk perancangan jangka masa panjang.