Terkini: Saya sanggup hilang gaji, berhenti main bola -- Faisal Halim tak boleh terima disimbah asid

Muzaffar Musa
Jun 13, 2024 15:04 MYT
Bintang Selangor FC, Faisal Halim, mengakui tidak boleh terima dirinya disimbah asid dalam satu insiden di Damansara pada awal bulan lalu.
Dalam sidang media hari ini, Faisal dalam keadaan penuh emosi dan mengalirkan air mata, berkata: "Pada awalnya, sewaktu minggu kedua, saya katakan kepada Datuk (Seri Shahril Mokhtar, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC), saya sanggup hilang gaji saya berpuluh ribu untuk berhenti bermain bola asalkan saya selamat, keluarga saya selamat.
"Tetapi apa yang memberikan semangat dan apa yang Datuk janjikan kepada saya, 'Miki saya tahu awak mampu teruskan, saya jaminkan keselamatan awak dan keluarga awak'.
"Ketika itulah saya mula bersemangat untuk teruskan usaha saya untuk bermain bola semula.
"Saya katakan kepada keluarga saya, saya tidak kisah hilang gaji saya berpuluh ribu, saya hanya mahu pulang ke kampung untuk tenang.
"Saya sanggup bekerja dengan gaji RM100, RM50 sehari asalkan keluarga saya selamat, saya tidak perlu hidup dalam ketakutan.
"Sebab apa yang berlaku kepada saya ini memang sesuatu yang di luar jangkaan, yang memang saya tidak boleh terima.
"Keluarga saya semua dalam ketakutan tetapi doa orang ramai membuatkan saya bersemangat untuk meneruskan karier saya."
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Faisal Halim #Selangor FC
;