TERKINI: Astro sambung hak eksklusif EPL hingga 2027/28

Shaiful Shamsudin
Disember 11, 2024 14:37 MYT
Astro mempembaharui hak penyiaran eksklusif Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA Emirates untuk tiga musim akan datang -- 2025/26 hingga 2027/28.
Hak eksklusif ini secara tidak langsung meneruskan kerjasama di antara Astro dan EPL bagi memastikan peminat syjab meneruskan akses kepada liga bola sepak paling menarik di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, berkata: “Kami sangat teruja untuk melanjutkan perkongsian kami bagi EPL dan Piala FA Emirates untuk tiga musim lagi selepas kempen semasa ini.
"Pembaharuan hak penyiaran ini membuktikan komitmen kami untuk terus menyampaikan sukan terbaik kepada rakyat Malaysia. EPL merupakan asas pengaturcaraan sukan kami dan kami berharap dapat membawa peminat lebih dekat dengan aksi rancak melalui liputan meluas kami, pertunjukan inovatif dan pengalaman yang menarik.”
“Kami amat berbangga kerana telah meningkatkan penonton sebanyak 70 peratus untuk musim 23/24 yang menjadi bukti kualiti perkhidmatan kami yang memanfaatkan daya tarikan berterusan EPL dalam kalangan rakyat Malaysia."
Ketua Pegawai Media EPL, Paul Molnar, berkata: “Kami berbesar hati untuk memperbaharui kerjasama dengan Astro, salah satu rakan kongsi kami yang paling lama berdiri di Asia ini untuk tiga musim akan datang.
"Astro telah memainkan peranan penting dalam membawa EPL kepada peminat Malaysia selama lebih dari sedekad dengan mempamerkan persaingan konsisten, berkualiti dan semangat. Pembaharuan ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk menyediakan hiburan bola sepak bertaraf dunia kepada penyokong di seluruh Malaysia.
"Kami teruja untuk meneruskan kerjasama erat kami dengan Astro dalam memberikan pengalaman terbaik buat peminat EPL di rantau ini."
Pembaharuan ini menyaksikan Astro terus menyiarkan kesemua 380 perlawanan EPL dalam HD dan perlawanan terpilih dalam 4K UHD di samping keseluruhan peringkat Piala FA Emirates. Menerusi liputan komprehensif, pelanggan boleh menyaksikan pertembungan mendebarkan di antara pasukan teratas, rancak dan detik ikonik pada bila-bila masa, di mana sahaja.
Selain siaran langsung, Astro turut akan menerbitkan kandungan istimewa seperti wawancara eksklusif dan siri "From KL to PL" yang akan ditayangkan pada Januari 2025.
Pelanggan Astro juga akan terus mendapatkan akses 'viewing party' dan bermacam lagi.
Juga nikmati pelbagai peluang memenangi hadiah dan barangan menarik menerusi Astro Rewards.
;