ACLE
Terkini ACLE: JDT tumbang di SSI, Suphanat Mueanta bawa Buriram United ke suku akhir
JDT 0 BURIRAM UNITED 1
Johor Darul Ta'zim (JDT) tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila tewas 0-1 kepada kelab Thailand, Buriram United, dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri sebentar tadi.
Jaringan tunggal daripada bintang muda Thailand, Suphanat Mueanta, dalam babak kedua sudah cukup untuk memberikan kemaraan buat Buriram selepas terikat tanpa jaringan di Arena Chang minggu lalu.
Harimau Selatan menggegarkan jaring lawan seawal minit pertama tetapi malangnya, jaringan yang dihasilkan Bergson da Silva dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) gara-gara dikesan berada di kedudukan ofsaid.
Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-27, di mana percubaan kaki kanan Afiq Fazail singgah tepat di tiang kiri gawang Buriram.
Buriram memberikan ancaman lebih besar dalam babak kedua, di mana Peter Zulj hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-52 dengan percubaan jarak jauh kaki kirinya yang sedikit melewati palang gol.
Kemuncaknya, Suphanat berhasil memecahkan benteng JDT dengan melepaskan penyudah lencong kaki kiri menewaskan Andoni Zubiaurre sebaik memanfaatkan kesilapan Eddy Israfilov.
JDT melakukan segala-galanya untuk menyamakan kedudukan tetapi jaringan penyamaan yang dicari-cari tidak kunjung tiba.
Kontroversi tercetus pada penghujung permainan apabila jaringan penyamaan Jorge Obregon dibatalkan gara-gara ofsaid biarpun dia kelihatan tidak melepasi pertahanan terakhir Buriram.
Ia sekali gus menyaksikan JDT terpaksa akur perjalanan mereka tamat dalam pusingan 16.