Kedah harus berterima kasih kepada pemain sayap, Syazwan Zainon, yang memainkan watak penting dalam menghadiahkan tiga mata pertama musim ini selepas membantu melakar kemenangan 3-2 ke atas Sarawak, malam tadi.
Suasana di Stadium Darulaman bagaikan tenggelam seketika sebaik separuh masa pertama berakhir tatkala Kedah ketinggalan 2-1.
Bagaimanapun, ribuan penyokong Lang Merah kembali bergema apabila pemain kebangsaan, Syazwan, meledak gol penyamaan dan gol kemenangan pada babak kedua.
"Selepas berehat sebulan ekoran kecederaan, saya hanya sempat berlatih selama empat hari sebelum perlawanan ini.
"Mungkin atas faktor kekurangan pemain, saya diturunkan pada malam ini," ujar Syazwan.
Sementara itu, jurulatih Sarawak, David Usop, meluahkan rasa kecewa dengan sikap penyerang import Croatia, Mateo Roskam, yang mengadu dilanda kecederaan sebelum perlawanan.
Senario itu membuatkan David tidak teragak-agak untuk menyingkirkan pemain itu sekiranya didapati bersikap tidak jujur.
"Selepas sesi pemanas badan, dia mengadu mengalami kecederaan, jadi kami sempat mengeluarkan dia daripada kesebelasan utama dan meletakkan dia di bangku simpanan.
"Ketika mahu bertanya sama ada dia mampu beraksi dalam separuh masa kedua, saya lihat dia sudah memakai pendakap kaki. Jadi ketika itu saya buat keputusan bahawa dia tidak perlu bermain.
"Tetapi saya akan mengarahkannya untuk menjalani pemeriksaan MRI. Jika didapati dia tidak mengalami sebarang masalah, kami tidak boleh berbuat apa-apa selain menyingkirkannya," tegas David.
Bola Sepak
Terima kasih Syazwan Zainon
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena