LIGA SUPER MSIA
Terengganu perlu tunggu status Ivan Mamut
Penyokong Terengganu pastinya berdebar menantikan kepulangan ayam tambatan mereka, Ivan Mamut.
Selepas tiga perlawanan musim ini, Ivan masih belum dapat beraksi gara-gara mengalami kecederaan sewaktu pramusim.
Terengganu, dalam satu kenyataan malam tadi berkongsikan mengenai status terkini pernyerang Croatia berusia 26 tahun itu, yang dikatakan sedang menjalani pemulihan di negara kelahirannya.
Iklan
"Seperti yang penyokong sedia maklum, Ivan Mamut ketika ini masih dalam proses rawatan penyembuhan kecederaan (tendon Achilles kiri) yang dialaminya semasa latihan pramusim pasukan," kata Pengarah Sukan Terengganu, Zul Fadli Rozi, dalam satu kenyataan.
"Terengganu FC sebelum ini bersetuju untuk membenarkan Ivan Mamut kembali ke Croatia untuk menjalani rawatan bersama pakar di sana selama enam minggu dan beliau dijadualkan untuk kembali ke Terengganu pada 3 Jun 2024.
"Pihak perubatan Terengganu FC akan membuat pemeriksaan seterusnya apabila Ivan tiba di sini untuk memastikan sama ada beliau sudah bersedia untuk menjalani latihan penuh bersama pasukan ataupun masih perlu meneruskan rawatan pemulihan bersama pihak perubatan Terengganu FC.
"Sememangnya pasukan sangat memerlukan ketajaman penyudah pada ketika ini dan kita semua tahu kualiti yang dimiliki oleh Ivan mampu untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan. Sama-sama kita doakan Ivan segera sembuh sembuh untuk kembali membantu pasukan bagi saingan musim ini."
Must-Watch Video