BOLA SEPAK
Terengganu masih rehatkan Sharbinee
Peluang Mohd Sharbinee Allawee untuk kembali beraksi bersama Terengganu masih samar berikutan masalah kesihatan yang dialaminya sejak Februari lalu.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Sharbinee, 30, masih belum pulih sepenuhnya dan tidak menolak kemungkinan memerlukan masa yang lebih lama untuk kembali ke padang latihan.
Katanya, penjaga gol ialah posisi kritikal dan situasi itu memaksa PBSNT mencari penjaga gol baharu bagi memperkemaskan pasukan.
Iklan
“Sharbinee masih dalam senarai skuad, namun masalah kesihatannya melibatkan paru-paru. Jadi, doktor menasihatkan untuk dia berehat.
“Peluang untuk dia kembali beraksi musim ini adalah 50-50,” ujarnya selepas Majlis Berbuka Puasa PBSNT dan turut memperkenalkan lima pemain baharu Sang Penyu yang menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan kedua.
Tambah Wan Nawawi lagi, Terengganu perlu mengekalkan momentum di kedudukan kedua Liga Perdana untuk mengejar misi kembali ke kancah Liga Super 2018.
“Analisis kami menunjukkan hanya purata 1.6 gol dijaringkan manakala bolos 1.3 gol setiap perlawanan dan statistik itu agak kurang baik.
“Kehadiran pemain import dan pemain tempatan baharu ini diharapkan dapat mempertajamkan lagi barisan Terengganu untuk baki liga dan Piala Malaysia musim ini,” katanya.
Must-Watch Video