LIGA SUPER MSIA
Terengganu II, Penang akur penggantungan pemain bergaduh
Ketua jurulatih Terengganu II, Badrul Afzan Razali, mahu menjadikan hukuman penggantungan ke atas Muhd Aqil Irfanuddin Mohd Sabri dan Mohammad Ridzuan Mohd Razali, yang masing-masing digantung selama sebulan dan dua bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak selain denda oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai iktibar untuk mengharungi Liga Perdana musim ini.
Mereka terbabit dalam insiden pergaduhan di hujung separuh masa pertama kejohanan pra-musim, Piala Menteri Besar Terengganu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 10 Februari lalu hingga menyaksikan perlawanan dibatalkan.
"Mereka adalah tonggak utama pada tahun ini.
"Ini satu kehilangan kepada pasukan dan satu pengajaran kepada pemain.
"(Kebetulan kejadian) saya tidak ada di Terengganu. Saya sedang mengikuti Kursus Lesen Pro di Kuala Lumpur.
"Tapi menerusi siaran langsung yang saya lihat, pemain Terengganu menjadi tidak terkawal dan melakukan provokasi.
"Saya kecewa dan terkejut kerana pemain saya telah bertindak balas hingga menjadi pergaduhan besar," katanya di Nadi Weekend.
Dua pemain dua pemain import Penang, Endrick Dos Santos Parafita dan Anselmo Arruda Da Silva (Casagrande), turut tidak terlepas daripada hukuman yang bermula Khamis lalu itu.
Pengurus Besar Penang, Jeffery Chew, menganggap ketiadaan kedua-duanya akan memberi kesan ketika mereka untuk berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka United dalam dua perlawanan awal Liga Super, minggu depan.
"Sedihlah, kami pun tidak berharap pemain digantung selama dua minggu dan sebulan setiap seorang. Kami akur dengan keputusan FAM, ini telah ditetapkan dalam Perlembagaan FAM.
"Tetapi ini satu langkah ke belakang kerana pemain baru pula masih cuba menyesuaikan diri.
"Kami telah semua menghantar bukti kepada FAM. (Aksi itu) tidak bersesuaian dengan kami yang tidak bermain sekian lama. Tapi ia telah berlaku.
"Pemain tersebut amat sedih. Dia tahu apa yang terjadi. Pada masa itu situasi di dalam padang adalah kelam kabut.
"Endrick masih tertiarap di atas padang. Tapi situasi masa itu tidak terkawal. Kesilapan ini sebahagian daripada semua pihak," katanya.
Kelab Liga Perdana itu didenda RM10,000 sementara Harimau Kumbang RM5,000 selain amaran keras.