Skip to main content

Bola Sepak

Terengganu II catat kemenangan keempat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

img_6738.jpg
TERENGGANU FC II 2 KELANTAN 1

Satu gol dalam setiap babak memastikan Terengganu FC (TFC) II bangkit mengalahkan Kelantan 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Tiada peluang terhidang buat kedua-dua pasukan dengan insiden kecederaan pemain TFC II, Darren Lok, yang dikeluarkan pada minit ke-28 lebih menjadi perhatian.

Permainan hanya benar-benar hidup selepas lebih setengah jam perlawanan berlangsung.

Kegagalan pertahanan TFC II mengeluarkan lontaran ke dalam Afiq Azuan dari sebelah kanan dihukum Felix Odili yang menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-32.

Hanya satu minit diperlukan TFC II untuk menyamakan kedudukan menerusi voli Jordan Mintah dari jarak dekat selepas menerima hantaran Bruno Suzuki di dalam kotak penalti.

Bruno (m-37) kemudian hampir mencetak gol kedua TFC II namun lambungannya dalam situasi 50-50 dengan penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin, tinggi melepasi sasaran.

Kelantan cuba mengimbangi asakan menerusi percubaan kaki kiri Hakimi Abdullah pada minit ke-42 yang ditepis Mohd Suhaimi Husin untuk kedudukan 1-1 kekal sehingga rehat.

Babak kedua dikuasai tuan rumah dan sepakan jarak jauh bek kiri, Alif Zakaria, pada minit ke-52 berjaya disusuli dengan gol kedua TFC II sepuluh minit kemudian.

Gol itu terhasil selepas Faridzuean gagal membaca sepakan sudut Zuasyraf Zulkiefle dan membenarkan bola menerjah masuk ke dalam jaring golnya pada minit ke-62.

Hasrat Kelantan untuk membawa pulang satu mata tidak kesampaian apabila sepakan leret Lazarus Kaimbi di depan pintu gol pada minit ke-74 mudah diselamatkan Suhaimi.

Pengadil, Fitri Maskon, menamatkan aksi 90 minit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan kedudukan 2-1 berpihak tuan rumah untuk kemenangan keempat berturut-turut.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)

Advertisement

Must Watch Video