Terengganu FC dalam usaha kekalkan Ivan Mamut
Shaiful Shamsudin
Disember 15, 2023 18:46 MYT
Disember 15, 2023 18:46 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club, Mohd Sabri Abas, menegaskan pasukan itu masih menagih khidmat penyerang berbisa, Ivan Mamut, untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Pihak pengurusan TFC sedang mempersiapkan segala hal berkaitan kontrak dan dijangka dimuktamadkan sejurus berakhir kempen Liga Super 2023.
Sabri mengakui pihaknya sedar penyerang kelahiran Croatia itu sedang dalam pemerhatian beberapa kelab -- baik dari dalam dan luar negara, namun percaya Mamut sedia kekal di Gong Badak.
Beliau turut memberi bayangan, berkemungkinan besar separuh daripada tonggak import skuad Peteh musim ini bakal dilepaskan dan tidak ditawarkan kontrak baru.
"Ivan Mamut memang menjadi perhatian ramai, kami tahu dia ada menerima beberapa tawaran dari Liga-M mahupun luar negara.
"Tapi dia berkemungkinan besar akan kekal dan dalam masa sama, ada juga pemain yang akan dilepaskan.
"Khidmat beberapa pemain import yang lain juga barangkali dikekalkan.
"Ia akan diputuskan oleh jawatankuasa teknikal dan barisan kejurulatihan," katanya di Nadi Arena hari ini.