Pengendali skuad Piala Presiden T-Team, Tengku Hazman Raja Hassan, berharap pasukannya segera menemui sentuhan pemusnah selepas sekadar menang tipis 1-0 ke atas Pahang dalam aksi Kumpulan B di Gong Badak, petang semalam.
“Kami mencipta banyak peluang pada babak pertama dan berhasil mendapatkan satu gol.
“Aspek penyudah perlu ditambah baik kerana kami mensia-siakan deretan peluang dalam perlawanan ini,” ujar bekas ketua pasukan kebangsaan itu.
T-Team menguji barisan pertahanan pelawat seawal minit kesembilan, malangnya percubaan Mohd Khairul Rizam Che Soh tepat ke dakapan penjaga gol Pahang, Nik Muhd Sharif Haseefy.
Enam minit kemudian, hantaran silang Muhd Naqib Najwan mencemaskan Pahang, namun penyerang T-Team, Muhd Nurshakir Yacob, gagal menyambung hantaran itu.
T-Team terus kempunan memecahkan kebuntuan apabila tandukan Nurshakir pada minit ke-21 hasil sepakan penjuru Muhd Zueasyraf Zulkieflie, dikeluarkan pertahanan Pahang di atas garisan gol.
Nurshakir akhirnya menceriakan kem tuan rumah selepas tenang menyudahkan hantaran Muhd Syahmi Aiman, empat minit sebelum tamat separuh masa.
Minit ke-62 menyaksikan T-Team kehilangan seorang pemain gara-gara layangan kad merah ke atas Mohd Khairul Rizam, namun Pahang gagal mengeksploitasi kelebihan itu.
Kedudukan 1-0 berjaya dipertahankan naib juara musim lalu itu yang kini mengutip empat mata daripada dua perlawanan.
“Saya sedikit kecewa dengan layangan kad merah pada 45 minit kedua yang memaksa saya mengubah percaturan taktikal pasukan kepada lebih bertahan.
“Barisan pertahanan menunjukkan disiplin yang tinggi serta faham tugas masing-masing.
“Kehadiran dua pemain dari skuad senior Liga Super (Muhd Naqib dan Muhammad Mohd Fauzi) juga menyuntik semangat kami dan mereka melakukan tugas dengan baik untuk membantu pasukan ini,” tambah Tengku Hazman.
Bola Sepak
Tengku Hazman tuntut jentera serangan lebih prolifik
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena