Erik ten Hag berharap Manchester United dapat memastikan kemenangan ke atas Nottingham Forest lebih awal ketika pelawat merakamkan kemenangan 2-0 di City Ground semalam.

Antony memastikan The Red Devils mendahului di separuh masa pertama, namun United bergelut untuk melepasi Keylor Navas sekali lagi sehinggalah Diogo Dalot menjaringkan gol kedua pada minit ke-76.



United menamatkan perlawanan dengan jangkaan kadar gol (xG) 3.49, dan akhirnya memperoleh tiga mata untuk memintas Newcastle United ke tempat ketiga Liga Perdana Inggeris.

"Persembahan yang mantap. Kemenangan yang berhak diraih. Satu-satunya kritikan yang boleh saya katakan, saya mengharapkan jaringan yang lebih banyak. 3-0 atau 4-0. Kami terlepas banyak peluang," kata Ten Hag.

"Anda mahu menjaringkan gol dan menamatkan perlawanan dengan lebih awal. Dalam perlawanan besar anda tidak mencipta begitu banyak peluang, jadi anda perlu menjaringkan gol.

"Kami memerlukan lebih ramai penjaring gol dan saya gembira dengan Antony. Dia menjaringkan gol, memberikan bantuan jaringan. Permulaannya dalam perlawanantidak begitu baik, tetapi selepas menyesuaikan diri, dia sentiasa menjadi ancaman bagi lawan."

United tanpa penjaring terbanyak Marcus Rashford akibat kecederaan, serta gandingan pertahanan Raphael Varane dan Lisandro Martinez selepas kedua-duanya mengalami kecederaan dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Europa 2-2 dengan Sevilla Jumaat.