Ten Hag gembira Manchester United pamer semangat juang
Shaiful Shamsudin
Ogos 27, 2023 08:47 MYT
Ogos 27, 2023 08:47 MYT
MAN UTD 3 FOREST 2
Erik ten Hag gembira dengan tindak balas pemainnya terhadap "permulaan ngeri" mereka ketika Manchester United mengatasi defisit dua gol untuk menewaskan 10 pemain Nottingham Forest.
Selepas membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan ke atas Wolves tetapi menempa kekecewaan hujung di Tottenham, minggu lalu, detik empat minit pertama di Old Trafford malam tadi menjadi menjadi pengalaman mengerikan.
Taiwo Awoniyi hanya memerlukan 86 saat dan Willy Boly menambah satu lagi penyudah pada minit keempat untuk rekod terawal United pernah ketinggalan dengan dua gol dalam sesebuah perlawanan EPL.
Begitupun, mereka mengerahkan segala kudrat untuk merapatkan jurang menerusi menerusi Christian Eriksen kemudian Casemiro menyumbat jaringan penyamaan selepas rehat sebelum Bruno Fernandes memastikan kemenangan menerusi sepakan penalti sebaik pemain Forest, Joe Worrall, dibuang padang.
Pengurus United itu berkata: “Kami mahu menghiburkan peminat? Sudah tentu ia adalah satu permulaan yang ngeri, memberikan mereka dua gol dan membuat kesilapan.
“Tetapi saya sangat gembira dengan kebangkitan dengan kepimpinan untuk kami kekal tenang dan sabar.
“Kami berpegang teguh kepada taktikal dan dalam masa yang sama kami mempamerkan aksi di luar perancangan kami serta di luar prinsip dan peraturan kami. Kami menjaringkan gol yang bagus.”
Ditanya sama ada dia melihat kemenangan itu menjurus kepada aspek positif, pengurus berbangsa Belanda itu berkata lagi: “Saya fikir setiap pasukan pada permulaan musim ini mempunyai perkara yang perlu diperbaiki.
“Sudah pasti kami juga mempunyai beberapa masalah dan kami perlu mengatasinya jika mahu berjaya.
“Tetapi anda juga melihat pasukan ini mempunyai karakter yang besar, personaliti yang besar ada semangat yang sangat baik. Wujud tenaga dan mereka menemui jalan untuk menang jadi untuk hari ini, satu pujian buat pasukan.”