Tawaran riyal Arab Saudi tidak sisih pemain muda
Asmawi Bakiri
Ogos 25, 2023 15:22 MYT
Ogos 25, 2023 15:22 MYT
Berapa ramai lagikah pemain berstatus bintang dari Eropah yang bakal ‘dikebas’ oleh Liga Profesional Arab Saudi selepas ini?
Pada asalnya, perpindahan pemain yang begitu ramai sekali sejak beberapa bulan lalu dilihat sebagai keputusan memilih ‘rumah persaraan’ mewah dan mengumpul sebanyak mungkin wang sebelum menggantung but secara kekal beberapa tahun kemudian.
Ini kerana rata-rata pemain yang dibeli sudah pun agak berusia dan boleh dikatakan hampir mencecah penghujung tempoh kerjaya bermain di tahap tertinggi, antaranya Karim Benzema (35 tahun), Jordan Henderson (33 tahun) dan N’Golo Kante (32 tahun).
Namun, rentak ini kemudian serba-sedikit dipatahkan dengan persetujuan pemain yang lebih muda dan masih berada di puncak kerjaya mereka, antaranya Ruben Neves, Allan Saint-Maximin dan Sergej Milinkovic-Savic yang cuma berusia 26-28 tahun.
Menurut laporan Daily Mail semalam, kelab Al-Ahli mendedahkan mereka telah berjaya mendapatkan sasaran rahsia yang lama diburu – pemain muda berbakat besar dari Celta Vigo, Gabri Veiga, yang baru berusia 21 tahun.
Pemain itu awalnya dilaporkan menarik perhatian kelab-kelab ternama seperti Manchester United dan Newcastle United tetapi memilih Al-Ahli pada akhirnya.
Tidak sukar meneka motivasi utama Veiga membuat keputusan itu, jika bukan kerana bayaran lumayan, apa lagi?
Menurut presiden kelab Celta Vigo, Carlos Mourino, meskipun pihaknya enggan menjual Veiga, tawaran daripada Al-Ahli terlalu tinggi untuk ditolak dan mustahil untuk disaingi.
Kesan daripada berita itu, banyak pihak meluahkan pendapat bahawa Veiga telah menjual masa depan yang cerah untuk beraksi dalam liga profesional tahap tertinggi dan kancah Eropah semata-mata kerana tamakkan wang.
Menariknya, pemain veteran Real Madrid, Toni Kroos, turut sama bersetuju dengan suara majoriti lalu meninggalkan komen yang tertulis ‘Memalukan’ di laman Instagram milik Veiga.
Gelombang dari Arab Saudi berterusan lagi hari ini dengan pendedahan kelab Al-Ittihad pula yang menyatakan mereka bersedia menawarkan pemain bintang utama Liverpool, Mohamed Salah, gaji yang lebih tinggi daripada Cristiano Ronaldo demi membawanya ke negara mereka.
Meskipun Salah baru sahaja menandatangani kontrak baru, serta ejennya Ramy Abbas mengesahkan pemain itu bakal kekal komited kepada Liverpool, Al-Ittihad dilihat tidak sedikit pun goyah dan tetap meneruskan percubaan mereka.
Setelah berjaya mendapatkan Benzema bulan lalu, peluang untuk menggandingkannya dengan Salah dilihat sebagai satu pencapaian menakjubkan yang berbaloi untuk dikecapi, tidak kira sebanyak mana pun wang yang harus dilaburkan.
Liverpool pantas menidakkan segala ura-ura itu dengan menyatakan mereka tidak akan melayan sebarang tawaran kerana Salah teramat penting tetapi masalahnya adalah tidak ada sebarang kenyataan pun yang keluar dari mulut Salah sendiri buat ketika ini.
Jika Liverpool berjaya mengekalkan Salah musim ini sekalipun, siapa yang boleh menjamin bahawa perkara serupa tidak akan berulang lagi musim depan?
Untuk rekod, Salah merupakan pemain dengan gaji yang paling tinggi dalam sejarah Liverpool, iaitu £350,000 (RM2.05 juta) seminggu dan hanya Erling Haaland serta Kevin De Bruyne di pihak Manchester City yang memperoleh gaji lebih tinggi dalam Liga Perdana Inggeris.
Jika Al-Ittihad bersedia menawarkan gaji lebih tinggi daripada ini, sejauh manakah kesetiaan Salah terhadap Liverpool mampu bertahan?
Juga penting untuk diketahui, tempoh jendela perpindahan Liga Profesional Arab Saudi hanya bakal tamat beberapa minggu selepas jendela perpindahan Eropah, bermakna mereka masih mempunyai masa yang panjang untuk terus memancing lebih ramai pemain lain.
Siapa yang bakal menjadi sasaran seterusnya dan kejutan apa lagi yang bakal kita saksikan?