BOLA SEPAK

Tanggung tuntutan LHDN RM1.9 juta dari Liridon, Persatuan Bolasepak Kedah giat bayar hutang

Najmi Iman 28/03/2025 | 07:14 MYT
Sebanyak RM200,000 sebulan disalurkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di bawah naungan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, bagi menanggung bebanan hutang yang tertunggak melanda kelab Kedah Darul Aman (KDA) sejak 2020.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh presidennya ketika Majlis Penyampaian Ganjaran Atlet dan Pegawai yang sudah menaikkan nama negeri utara tanah air ketika bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dan Sukan Olimpik Paris 2024, tahun lalu.
Menurut Sanusi, jumlah yang mencecah hampir RM30 juta itu merupakan hutang daripada pengurusan lalu dan langkah pembayaran diambil supaya Kedah terus memiliki lesen Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Sewaktu sidang media majlis berkenaan, Sanusi juga melaporkan bahawa KFA juga menderita kerugian apabila tuntutan RM1.9 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan pemain import dan bekas tonggak Harimau Malaya, Liridon Krasniqi.
“Untuk makluman, saya tanggung hutang berkenaan dengan pasukan itu sebulan RM200,000, jadi jangan kata KFA tak tolong, kita tolong.
“Mula-mula, kita ambil pasukan dulu, kita tanggung hutang RM16 juta, kita ada empat bulan tunggakan gaji,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri mengambil tanggungjawab tersebut untuk melangsaikan hutang tersebut melalui dana, sumbangan dan bantuan dari pelbagai pihak yang sudi menyumbang.
Sementara itu, skuad Sang Kenari yang mengalami masalah kewangan yang semakin meruncing menarik nafas lega setelah menerima sumbangan menerusi Tabung Aidilfitri Pemain Bolasepak Kedah, baru-baru ini.
Sumbangan yang mencecahkan RM200,000 itu disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk, Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel.
#bola sepak #Kedah #KFA #Liridon Krasniqi #KDA #LHDN