Skip to main content

Bola Sepak

Tandukan Umtiti bawa Perancis ke final

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

umtitigoalcropped_xz3pw5g5onoi1f23uy9xi37jj.jpg
Samuel Umtiti muncul wira buat Perancis untuk layak ke final Piala Dunia buat kali ketiga dalam tempoh 20 tahun selepas menundukkan Belgium 1-0 di peringkat separuh akhir di Saint Petersburg, awal pagi tadi.

Pemain pertahanan itu menanduk masuk bola hasil sepakan sudut  Antoine Griezmann pada minit ke-51 untuk mengesahkan tiket ke Moscow buat Les Bleus dan menanti sama ada England atau Croatia.

Penjaga gol daripada kedua-dua pasukan, Hugo Lloris dan Thibaut Courtois, melakukan aksi tangkas untuk menafikan setiap percubaan sebelum perlawanan menuju ke penamat, yang mengekalkan kedudukan tanpa jaringan selepas separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Umtiti meledakkan jaringan untuk memecah kebuntuan ketika awal babak kedua dengan menanduk  masuk untuk meraih gol ketiga peribadi di peringkat antarabangsa.

Belgium melakukan asakan bertali arus untuk memburu gol penyamaan tetapi Roboerto Martinez hanya mampu melihat pasukan bimbingannya itu menanggung kekalahan pertama dalam 25 perlawanan, sekali gus menamatkan impian skuad yang disifatkan sebagai generasi emas mereka untuk muncul juara buat kali pertama dalam sejarah.

Tewas dalam aksi final final Euro 2016 di laman sendiri, Perancis pastinya memburu sesuatu yang lebih besar di Russia dan menyamai pencapaian skuad 1998 yang dibarisi oleh Didier Deschamps, individu yang mampu menyamai pencapaian Mario Zagallo dan Franz Beckenbauer untuk memenangi Piala Dunia selaku pemain dan juga pengurus.

Penggantungan Thomas Meunier, bagaimanapun, memaksa Belgium kembali kepada perancangan empat pertahanan dan Martinez memilih untuk meletakkan Nacer Chadli di sebelah kanan.

Bagaimanapun, pertukaran itu dilihat tidak mampu mengubah carta penjaring terbanyak kejohanan tatkala kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati dalam saingan separuh masa pertama.

Eden Hazard berdepan dua peluang keemasan, melepaskan sepakan rendah kaki kiri yang tersasar sebelum percubaan lencong kaki kanannya ditanduk keluar oleh tonggak utama pertahanan, Raphael Varane.

Lloris melayangkan badan untuk menafikan percubaan padu daripada rakan sepasukannya di Tottenham Hotspur, Toby Alderweireld, sambil Courtois memberikan reaksi pantas untuk menyekat usaha Benjamin Pavard daripada sudut yang begitu sukar.

Walaupun percubaan pemain pertahanan itu mengenai sasaran, Olivier Giroud gagal menguji Courtois di sebalik  hantaran lintang Kylian Mbappe membuka ruang buatnya, membuatkan ia jauh daripada bahaya.

Bagaimanapun, Perancis hanya memerlukan enam minit selepas rehat untuk memecahkan kebuntuan.

Selepas rembatan Giroud dihalang oleh Vincent Kompany, sepakan sudut Griezmann yang melencong ke dalam kotak penalti pantas disambut Umtiti yang mengatasi cabaran Marouane Fellaini untuk menanduk masuk melepasi Courtois.

Melihat jaringan itu, Martinez yang menyaksikan pasukannya bangkit daripada ketinggalan dua gol sewaktu berdepan Jepun dalam  pusingan kedua, membawa masuk Dries Mertens untuk menggantikan Mousa Dembele.

Pertukaran itu menghadirkan ancaman kepada Perancis menerusi bahagian sayap kanan apabila satu gerakan hampir-hampir memberikan ruang buat Fellaini untuk melakukan tandukan.

Axel Witsel menguji keteguhan Lloris dari jarak jauh, namun Perancis berjaya melepasi halangan yang gagal disempurnakan Brazil dalam peringkat sama, empat tahun lalu, untuk kekal dengan pendahuluan dan menempah tiket ke Moscow.
 

Advertisement

Must Watch Video