Tan Cheng Hoe sedia kembali warnai Liga Malaysia
Muzaffar Musa
Ogos 24, 2022 20:43 MYT
Ogos 24, 2022 20:43 MYT
Selepas lebih lapan bulan berehat, bekas ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, bersedia untuk kembali memeriahkan Liga Malaysia.
Pengendali berusia 54 tahun itu kini sedang hangat dikaitkan dengan Perak FC selepas tular sekeping gambarnya dengan ketua pegawai eksekutif pasukan itu, Bobie Farid Shamsudin.
Walaupun dilihat sebagai calon pilihan untuk mengemudi The Bos Gaurus bagi saingan Liga Super musim depan, Cheng Hoe menegaskan bahawa ia masih diperingkat perbincangan bersama pasukan itu.
Cheng Hoe turut tidak menafikan bahawa dia juga sedang berbincang dengan sebuah kelab Asia Tenggara yang mungkin berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, dia berkata: "Saya sudah berehat selama lapan bulan dan saya rasa sudah bersedia untuk meneruskan kerjaya sebagai jurulatih dan bersedia untuk menyertai mana-mana kelab yang mahu menawarkan kontrak buat saya, tidak kira di dalam atau di luar negara.
"Saya juga sedang berbincang dengan satu kelab Asia Tenggara tetapi segala-galanya masih belum dimuktamadkan."