Bekas jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak dapat menyelamatkan Police Tero daripada tersingkir ke saingan Thai League 2 musim hadapan.
Ini selepas pasukan itu hanya mengutip 28 mata daripada 29 perlawanan meskipun berjaya mengalahkan Bangkok United 3-0 kelmarin.
Dengan Sukhotai memiliki 32 mata daripada 28 perlawanan, sukar buat The Silver Shield Dragon untuk mengejar dan keluar daripada zon penyingkiran Thai League 1.
Atas sebab itu, kedudukan Cheng Hoe sebagai pengendali pasukan itu untuk musim 2024/25 masih lagi belum diputuskan oleh pengurusan kelab.
Bekas jurulatih Harimau Malaya sebelum ini menyatakan hasrat untuk kekal bersama Police Tero tanpa mengira divisyen mana yang akan dihuni pasukan itu pada musim hadapan.
“Sudah tentu sama ada Police Tero kekal di Thai League 1 atau tersingkir ke Thai League 2, saya tak pasti tentang masa depan saya.
“Saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan. Tetapi bagi saya, saya mahu kekal di Thailand tak kira apa jua situasi kerana ini pengalaman baru untuk saya.
“Saya mahu belajar sesuatu dan beradaptasi dengan budaya tempatan. Saya juga mahu belajar tentang bola sepak Thailand,” katanya.
Dua lagi kelab yang menyertai Police Tero dalam saingan Thai League 2 musim depan ialah Chonburi FC dan Trat FC.
Chonburi tersingkir selepas dibelasah Muangthong United 6-0 dalam aksi terbaru liga semalam. Lebih malang, mereka beraksi dengan 10 pemain selepas Charlermpong Kerdkaew dibuang padang.
Menariknya, kelab ini memiliki dua bekas peledak Liga Malaysia (Liga M) iaitu Willian Lira dan Herlison Caion. Kedua-duanya masing-masing sebelum ini pernah beraksi untuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Selangor FC.
Dengan Chonburi tersingkir dan kontrak mereka berakhir pada 30 Jun ini, Lira dan Caion mempunyai banyak masa untuk menimbang tawaran pasukan yang berminat mendapatkan khidmat mereka. -- Sumber Makan Bola
Stadium Astro
Sun May 19 2024