LIGA PERDANA MSIA
Tambadau uji dua import
Dua calon pemain import, Aguinaldo Mendes Veiga dari Angola dan Ahmet Atayew dari Turkmenistan, kini diuji skuad Sabah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Luka Milunovic, yang kembali menyertai Melaka baru-baru ini.
Aguinaldo, yang memiliki ketinggian 1.86 meter, pernah mewakili Ubon UMT dalam Liga Perdana Thailand manakala kelab terakhirnya ialah Poli Lasi FC dalam Liga Super Romania.
Sementara itu, Ahmet, yang memiliki ketinggian 1.85m, sebelum ini beraksi bersama kelab Arema dan Persela dalam liga divisyen utama Indonesia sejak 2017.
Pemangku Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony, berkata jendela perpindahan pemain yang dibuka hingga 29 Mei ini akan dimanfaatkan skuad Tambadau itu untuk memperkuatkan pasukan.
"Fokus kami sekarang ialah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Milunovic tetapi jika ada keperluan menukar mana-mana pemain lagi, kami akan mempertimbangkannya demi memantapkan pasukan.
"Kami harap akan mendapat pemain yang sesuai sebelum perlawanan akan datang," katanya menerusi satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.
Sabah, yang masih memiliki tiga pemain import, iaitu pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae Su, Rodoljub Paunovic (Serbia), dan penyerang dari Brazil, Luiz Carlos Junior, akan meneruskan cabaran dalam Liga Perdana dengan menentang UKM FC di gelanggang lawan, Jumaat depan.
"Kami sudah ada dua calon import yang sedang diuji.
"Mereka tiba di sini (Kota Kinabalu) sejak semalam tetapi sama ada mereka akan menyarung jersi Sabah atau tidak, ia bergantung kepada pemain itu sendiri.
"Mereka akan diuji dan perlu melepasi beberapa prosedur lain, termasuk pemeriksaan kesihatan dan kecergasan.
"Kami mahu pemain baru yang boleh memantapkan lagi pasukan untuk mengharungi baki saingan musim ini serta memastikan kedudukan kami terus kukuh untuk merealisasikan sasaran ke Liga Super musim depan," katanya.
Skuad kendalian Jelius Ating itu kini di kedudukan kedua liga selepas mengumpul 21 mata daripada 11 perlawanan dengan rekod enam kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.
Pasukan itu juga hanya tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), yang kini mengumpul 24 mata.
Selepas berdepan UKM FC, Sabah sekali lagi akan berkunjung ke gelanggang lawan untuk bertemu Pulau Pinang pada Rabu ini sebelum menantikan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Likas, 15 Jun depan.