Sebanyak 20 pasukan akan kembali berentap merebut tiga kejuaraan dalam Liga Amatur Terengganu (TAL) edisi keempat bermula Jumaat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TAL, Muhd Zainuddin Solahudin, berkata tujuh pasukan akan membuat penampilan sulung untuk memburu hadiah keseluruhan berjumlah RM31,500.
Antaranya, Nor Farhan FC, CK Bintang Muda, Sentol Patah FC, Kerteh FC, Paka City FC, Hulu Fighters FC dan Unisza Rangers FC.
TAL masih mengekalkan format dua divisyen, iaitu 10 pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana sebelum lapan pasukan terbaik diundi bagi merebut kejuaraan mutlak, Piala TAL.
Menurutnya, lebih ramai pemain berpotensi diharap dapat dicungkil tahun ini, sekali gus meneruskan impak yang dicetuskan TAL sejak kali pertama diadakan.
"Seramai 11 pemain kelahiran TAL diserapkan ke Terengganu FC III (TFC III) dan TFC IV, termasuk tonggak B-19 negara, Muslihuddin Atiq Mat Zahid.
"Sebelum ini, penyerang TFC III daripada Real Chukai FC, Izzan Syahmi Mustapha, juga pernah mewakili skuad B-23 negara di peringkat antarabangsa.
"Kami mahu terus memberi peluang kepada bakat-bakat muda dan seterusnya menaikkan imej TAL yang diiktiraf sebagai Liga M4," katanya.
Untuk rekod, penyandang juara Piala TAL adalah Banggol Tok Ku (BTK) FC, yang kini berada di tangga keenam Liga M3.
Kredit foto: Liga Amatur Terengganu (TAL)
Tengku Danish Bahri
Wed Oct 23 2019