BOLA SEPAK

Syahid gembira kembali dalam skuad utama The Fighters

Shaiful Shamsudin 22/03/2017 | 21:29 MYT
Kehadiran B. Sathianathan selaku jurulatih baru Felda United umpama hikmah tersendiri kepada pemain tengah, Mohd Syahid Zaidon, yang kini kembali meraih kepercayaan untuk beraksi dalam kesebelasan utama.
Sekadar memanaskan bangku simpanan pada awal musim ini ekoran gagal mendapat perhatian Azmi Mohamad, kehampaan Syahid akhirnya terubat.
Jelas, potensi Syahid tidak dipersiakan oleh Sathianathan yang menjadi pilihan terbaik untuk mengisi bahagian tengah bersama dua lagi pemain, Stuart Wark dan Zah Rahan Krangar.
"Mungkin (kegagalan mendapat tempat sebelumnya kerana) perubahan taktikal tetapi sebagai pemain, kami perlu menuruti arahan taktikal jurulatih.
"Peranan saya tetap sama, cuma apa yang berbeza adalah dari segi permainan," ujarnya.
Dalam masa sama, bekas tonggak Harimau Muda itu tidak menafikan sedikit cemburu dengan kejayaan beberapa bekas rakan sepasukannya seperti Ahmad Hazwan Bakri yang kini menjadi watak utama skuad kebangsaan.
Justeru, dia bertekad mahu mengikut jejak langkah mereka dengan melahirkan hasrat untuk beraksi dalam skuad kebangsaan dalam masa terdekat.
"Semua pemain ada perasaan untuk bermain untuk pasukan kebangsaan.
"Kalau ada kesempatan, Insya-Allah (berminat untuk memperkuatkan negara).
"Saya gembira dengan perkembangan rakan-rakan yang pernah seangkatan dengan saya.
"Mereka semua berjaya dalam pasukan masing-masing."
;