LA LIGA

Supercopa de Espana: Ancelotti tekad lunas dendam El Clasico

Shaiful Shamsudin 12/01/2025 | 00:49 MYT
Carlo Ancelotti bertekad membalas dendam kekalahan 0-4 Real Madrid kepada Barcelona dalam pertembungan LaLiga, El Clasico, pada Oktober lalu menjelang perlawanan akhir Supercopa de Espana di Arab Saudi, awal pagi esok.
Robert Lewandowski, Lamine Yamal dan Raphinha meledak di Bernabeu, sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah 42 perlawanan liga Los Blancos.
Sejak itu, Madrid kembali ke rentak sebenar apabila memenangi lima perlawanan terakhir dengan menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol dalam setiap kemenangan.
Sekiranya mereka menewaskan Barca dalam final kali ini, ia akan menjadi rentak kemenangan terpanjang mereka -- tujuh perlawanan berturut-turut yang berakhir dengan kemenangan Piala Super Sepanyol 2024 pada Januari tahun lalu.
Begitupun, Ancelotti tetap berhati-hati menjelang pertemuan itu dan pengurus Madrid tersebut menyasarkan untuk memenangi gelaran ke-16 sepanjang mengemudi Los Blancos.
“Kami perlu memikirkan apa yang berlaku dalam perlawanan pertama kerana mereka menewaskan kami (dalam LaLiga),” katanya kepada pemberita.
“Kami telah membuat penilaian yang cukup jelas, jadi kami perlu mengulangi perkara baik yang kami lakukan serta mengelakkan kesilapan.
"Clasico tetap Clasico tetapi perlawanan akhir boleh menghadirkan sedikit tekanan kepada anda."
#LaLiga #Supercopa de Espana
;