Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, menyokong usaha Persatuan Bolasepak Malaysia FAM untuk memastikan pemainnya, Michael Ijezie, layak bergelar pemain naturalisasi negara dalam tempoh terdekat.
FAM berdepan kerumitan untuk proses naturalisasi membabitkan Guilherme De Paula atau Ijezie berbanding seorang lagi pemain import, Liridon Krasniqi.
Ia susulan kedua-dua pemain itu pernah meninggalkan Malaysia dalam tempoh beberapa bulan sejak masing-masing mula menetap di sini.
De Paula, yang mula berada di Malaysia pada 2015, menyertai kancah liga Greece pada 2016 sebelum kembali ke tanah air pada tahun yang sama.
Bagi Sulaiman, dia menyokong usaha badan induk itu merujuk hal ini kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mengelak masalah pada masa akan datang sementara pihak UKM turut menghulurkan bantuan bagi mendapatkan status pemain naturalisasi untuk Ijezie.
"FAM serius dalam usaha meningkatkan reputasi bola sepak negara dengan mendapatkan beberapa pemain naturalisasi. Walaupun berdepan isu mengenai pemain-pemain seperti Ijezie, mereka mengambil khidmat nasihat daripada FIFA bagi mengelak masalah pada masa akan datang," kata Sulaiman.
"Kami sangat berbangga kerana salah seorang pemain UKM kini dalam senarai untuk terlibat dalam skuad kebangsaan. Pihak pengurusan UKM sentiasa berhubung dengan pihak imigresen bagi memastikan setiap dokumen disediakan sebelum diberikan kepada FAM."
Bola Sepak
Sulaiman sokong usaha FAM
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena