Sukma: Wilayah Persekutuan positif buka kempen jumpa Selangor
Ogos 3, 2024 23:29 MYT
Skuad bola sepak wanita Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) tampak bersedia menjelang perlawanan pertama Sukan Malaysia (Sukma) bertemu Selangor di Kuching pada 13 Ogos ini.
Skuad kendalian Mohamad Nor Faez Alias diletakkan harapan untuk berada di podium berdasarkan persediaan pasukan yang bermula sejak awal tahun lagi.
Penaung bola sepak MSWP wanita, Nik Nazmi Nik Ahmad, yakin sekurang-kurangnya pingat gangsa mampu menghadirkan barisan wanita MSWP ketika majlis penyerahan jersi pasukan.
"Kami telah menyertai beberapa kejohanan dan menganjurkan Liga Wanita KL serta Liga Super Wanita KL tapi kami sedar belum sampai ke tahap LWN (Liga Wanita Nasional) lagi, dan (rata-rata) pemainnya dipilih dari sini.
"Tetapi sudah tentu bola itu bulat, macam-macam boleh berlaku. Saya harapkan yang terbaik," katanya.
Nada hampir serupa dari pemain MSWP, Afira Nurtaqwa Ar-Radzi Afizal, sudah bersedia sepenuhnya daripada segi mental dan fizikal.
"Ini penyertaan pertama dan terakhir saya.
"Saya akan buktikan bahawa kami menjadi pasukan pertama yang menjuarai bola sepak wanita Sukma adalah Wilayah Persekutuan," kata pertahanan itu.
Tambah penjaga gol, Nur Ally Shahana Rasidin, "Saya akan ada peluang pada masa akan datang. Apa pun saya akan berikan yang terbaik."