BOLA SEPAK
Sukan SEA Kemboja: Ujian Thailand ibarat perlawanan akhir -- presiden FAM
Walaupun baru memasuki perlawanan kedua, skuad bola sepak B-22 kebangsaan umpama berdepan perlawanan akhir dengan Thailand, petang esok.
Berikutan kemenangan 5-1 ke atas Laos, Selasa lalu, ramai yang melabel ujian sebenar skuad kendalian E. Elavarasan itu adalah dalam perlawanan kedua.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berpandangan apa sahaja sentimen yang sedang bertiup ketika ini, fokus utama skuad B-22 tahun negara adalah mata penuh ke atas Thailand.
"Kami tidak nak tunggu perlawanan terakhir untuk pastikan kemaraan.
"Ketika lawan Thailand dan Vietnam ini adalah misi hidup dan mati. Kalau betul bagus maka kami boleh kalahkan mereka. Mereka (pemain) faham dan tiada kompromi (mengenainya).
"Perlawanan lawan Thailand dan Vietnam ini ala-ala final.
"Kalau boleh kalahkan mereka, sudah pasti kami berasakan bakal menjadi juara," katanya ketika melawat persiapan akhir skuad negara dalam edisi ke-32 itu, hari ini.
Selain prestasi di atas padang, Hamidin juga tidak mahu skuad negara tewas dengan emosi sepanjang perlawanan.
Harus diingatkan pelbagai cara boleh digunakan untuk mencari kelebihan dan skuad negara perlu bijak mengawal situasi mendatang.
"Elavarasan mengatakan daripada segi taktikal, Thailand lebih bagus daripada Vietnam.
"Saya sudah pesan kepada pemain jangan pandang tinggi sangat (reputasi) mereka, tahap kita boleh beri cabaran seperti ini.
"Komitmen kami juga penting dan ini bermakna pemain perlu turun bebas dengan masalah dan fokus kepada kemenanganm," katanya lagi.