Sukan SEA Hanoi: Luqman Hakim mohon maaf gagal jaring sepakan penalti
Muzaffar Musa
Mei 22, 2022 23:34 MYT
Mei 22, 2022 23:34 MYT
Penyerang skuad B-23 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin, memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kegagalannya menyempurnakan sepakan dalam penentuan penalti perlawanan penentuan pingat gangsa acara bola sepak Sukan SEA Hanoi hari ini.
Dalam aksi menentang Indonesia di Stadium Nasional My Dinh, skuad negara mendominasi hampir keseluruhan perlawanan tetapi dibolosi terlebih dahulu oleh jaringan Ronaldo Joybera Junior Kwateh sebelum Hadi Fayyadh Abdul Razak menyamakan kedudukan bagi mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Bagaimanapun, nasib jelas tidak menyebelahi Malaysia apabila sepakan Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim diselamatkan penjaga gol lawan, Ernando Ari, untuk skuad negara menamatkan saingan di tempat keempat susulan kekalahan 3-4 dalam penentuan itu.
Luqman Hakim, ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kegagalannya menyempurnakan sepakan itu.
"Saya juga agak kecewa dengan sepakan penalti saya tetapi rezeki tidak menyebelahi saya dan rakan sepasukan untuk menang pingat gangsa.
"Kami akan bangkit dengan lebih kuat dan akan fokus kepada Kejohanan AFC (Piala Asia B-23 di Uzbekistan bulan depan) nanti.
"Jadi, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, juga kepada kedua ibu-bapa saya kerana tidak dapat pingat gangsa ini.
"Insya-Allah, kami akan memberikan keputusan yang lebih baik dalam Kejohanan AFC nanti," katanya.