BOLA SEPAK MSIA
Sukan SEA: Ariff intai peluang beraksi di KL2017
Pertahanan bawah 22 tahun negara, Ariff Farhan Md Isa, tetap mengintai peluang untuk berada dalam barisan pemain negara ke Sukan SEA 2017 walaupun namanya tampak bakal digugurkan bagi kunjungan ke China dari 8 hingga 16 Jun ini.
Ariff kembali memperkuat skuad bawah 22 tahun negara selepas berehat panjang akibat kecederaan ligamen lutut.
Bergelut mencari semula prestasi sebenarnya, pemain berusia 21 tahun dari Kedah itu kini bersaing merebut tempat untuk menyertai barisan 22 pemain ke China.
Iklan
Begitupun, Ariff tampak bakal diketepikan susulan persaingan hebat ditunjukkan pemain lain sepanjang latihan pasukan berkenaan kali ini.
"Walaupun saya masih bergelut dengan kecederaan, ia tidak menggugat saya untuk berusaha menyertai pasukan meneruskan persiapan di China," kata Ariff.
Kunjungan ke China bakal menjadi medan pemilihan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee, untuk menghadapi kelayakan Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC 2018 di Bangkok, Julai ini dan Sukan SEA, Ogos depan.
Arif merupakan antara tonggak skuad negara dalam temasya Sukan SEA Singapura 2015.
Sememangnya, menjadi harapan besarnya untuk menebus kekecewaan dua tahun lalu menerusi pingat emas di laman sendiri.
"Saya berharap setiap pemain yang terpilih untuk beraksi dalam Sukan SEA dapat memberikan komitmen penuh dalam usaha memberikan yang terbaik."
Must-Watch Video