Skip to main content

Bola Sepak

Sukan Asia: Pro, kontra keputusan FAM

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysia-u23.jpg
Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menghantar skuad B-23 negara menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September depan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong mahupun pemerhati bola sepak negara.

Bagi jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan, dia secara peribadi melihat tindakan FAM itu mengundang beberapa elemen positif dan negatif kepada skuad Harimau Muda kendalian E Elavarasan itu.

“Saya nampak ada negatif, ada positif. Sebenarnya bagi saya, jika mahu memberikan pendedahan kepada pemain, terutama pemain muda, FAM perlu menghantar skuad B-23 beraksi di China.

“Lebih banyak kejohanan kompetitif disertai, ia baik buat pemain muda negara apabila mereka beraksi bersama-sama. Mereka hanya satu tahap lagi untuk mewakili pasukan senior negara.

“Dalam liga domestik pun kita sukar nak cari pemain muda yang mampu menyinar kerana dibayangi oleh pemain import dan senior. Jadi, kejohanan kompetitif itu akan menyerlahkan keupayaan mereka,” katanya.

Pada Isnin lalu, Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell, mengesahkan keputusan untuk tidak menghantar pasukan adalah untuk memberikan tumpuan layak ke pentas Piala Asia B-23 tahun depan.

Sebelum itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, memaklumkan badan induk itu tidak akan menghantar pasukan ke Hangzhou, China kerana tempoh yang terlalu hampir dengan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober manakala pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pula dijangka bermula dari 4 hingga 12 September depan.

Mengulas lanjut, Wan Jamak berkata, FAM sudah tentu mempunyai perancangan tersendiri dengan tindakan mereka untuk tidak 'merisikokan' skuad B-23 beraksi dalam Sukan Asia kali ini.

“Sekarang FAM sedang melaksanakan satu perubahan dengan melihat kejohanan mana yang boleh mendatangkan kejayaan atau lebih memberikan impak kepada pasukan negara.

“Mungkin FAM berasakan ia satu langkah terbaik untuk tidak beraksi dalam Sukan Asia dan kita kena hormati keputusan mereka. Kalau hantar pasukan tetapi tewas sudah tentu mereka akan dikecam.

“Jadi, saya percaya FAM sudah membuat penilaian dan kajian terlebih dahulu sebelum buat keputusan itu dengan melihat kejohanan mana lebih penting untuk disertai,” ujarnya lagi.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video