Stadium Nasional Bukit Jalil kini rumah baru Malayan Tigress

Saufi Tahir
November 19, 2024 17:29 MYT
Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal menjadi medan perlawanan akhir Liga Wanita Nasional 2024 buat pertama kali pada 21 Disember ini dan akan pentas final akan dilangsungkan di situ mulai tahun ini.
Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh, turut memberikan komitmen buat skuad bola sepak wanita negara untuk menjalani sesi latihan di SNBJ sebagai inisiatif menyamaratakan peluang serta akses fasiliti yang sama diberikan kepada Harimau Malaya sebelum ini.
Malah, KBS juga akan memberikan peluang dan ruang buat skuad Malayan Tigress beraksi di SNBJ bagi meningkatkan semangat juang skuad negara sebagai inisiatif bagi mengurangkan jurang antara skuad lelaki dan wanita.
"Buat julung kalinya, pusingan akhir Liga Wanita Nasional 2024 bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 21 Disember 2024. Ini juga buat pertama kalinya skuad bola sepak wanita kebangsaan diberi peluang untuk bermain di padang tersebut.
"Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh juga telah beri komitmen agar skuad bola sepak wanita kebangsaan dapat menjalani latihan di SNBJ sebagai langkah untuk menyamaratakan peluang dan akses kepada fasiliti terbaik negara, sama seperti yang diberikan kepada pasukan bola sepak lelaki kebangsaan, Harimau Malaya.
"Liga Wanita Nasional akan berlangsung di SNBJ setiap tahun mulai tahun ini. Skuad bola sepak wanita kebangsaan akan menjalani sesi latihan di padang yang sama sekiranya perlawanan diadakan di Bukit Jalil. KBS berharap dengan memberi peluang dan ruang bagi skuad bola sepak wanita kebangsaan bermain di SNBJ dapat meningkatkan semangat juang pasukan Malaysia.
"KBS juga akan terus berusaha untuk mengurangkan jurang yang wujud antara pasukan wanita dan lelaki sebelum ini. Kita Semua Team MAS!"
#sepak #Malayan Tigress #'bola
;