Dion Cools teruja untuk beraksi di hadapan lebih 20,000 penyokong yang dijangka hadir ke
Stadium Gachibowli, malam ini.
"Sebagai pemain, saya sentiasa teruja untuk beraksi di hadapan ribuan penyokong tanpa mengira bermain di tempat sendiri mahu pun lawan.
"Ia akan menyemarakkan lagi prestasi kami. Kami beraksi di stadium yang agak lengang dalam perlawanan terakhir yang boleh mencerminkan betapa teruja penyokong bola sepak di sesebuah negara itu.
"Ia bagus untuk perlawanan bola sepak," katanya dalam sidang media.
Dalam pertemuan tahun lalu, pertahanan kebangsaan itu menghasilkan gol pembukaan yang menjadi pencetus kejayaan skuad negara menundukkan India 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Skuad negara hadir ke Hyderabad dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Laos 3-1 dalam satu lagi aksi persahabatan di Stadium PAT Bangkok Khamis lalu.
"Pertemuan lalu berlangsung agak seimbang. Jaringan lalu menjadi motivasi, kalau boleh saya nak jaringkan gol dalam setiap perlawanan, bukan sahaja ke atas India.
"Apa pun saya masih berhajat menjaringkan gol lagi esok (malam ini)," katanya.
Dan pertemuan ini cukup penting buat skuad negara dalam rangka persiapan menghadapi Piala ASEAN 2024 selain mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, Mac tahun depan.
Shaiful Shamsudin
Mon Nov 18 2024