LIGA SUPER MSIA
Sri Pahang makin selesa serap taktikal Fandi Ahmad
Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad, mengakui Selangor merupakan pasukan yang baik terutama di bahagian tengah yang menyebabkan Tok Gajah terpaksa melakukan perubahan taktikal berbanding dua perlawanan sebelum ini.
Kebiasaannya jelas Fandi, Tok Gajah menggunakan formasi 3-5-2, 5-3-2 atau 4-3-3, namun 5-3-2 berdepan Selangor.
"Kami cuba tutup ruangan di bahagian sayap yang merupakan satu kelebihan dimiliki pasukan Selangor dalam dua perlawanan sebelum ini.
"Cuma pemain Pahang agak perlahan untuk menyokong serangan apabila hanya dua tiga pemain dalam separuh masa pertama, namun babak kedua jauh lebih baik apabila tiga hingga empat pemain membantu serangan.
"Ya, memang susah hendak berdepan lawan seperti Selangor, jadi kami harus matikan sayap-sayap mereka," katanya.
Dalam perlawanan berkeamatan tinggi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Stefano Brundo terlebih dulu meletakkan Sri Pahang di hadapan pada minit ke-74 sebelum jaringan bintang Selangor, Brendan Gan, pada minit ke-88 untuk kedudukan 1-1, sekali gus memaksa dua gergasi Liga Malaysia (Liga-M) berkenaan berkongsi satu mata.
Pada masa sama, Fandi menegaskan misi meraih keputusan positif sememangnya menjadi sasaran pelawat apabila berkunjung ke Petaling Jaya.
"Ya, matlamat kami sememangnya mahu raih tiga mata atau sekurang-kurangnya satu mata dan misi tersebut tercapai di laman lawan.
"Hasrat itu tercapai apabila pemain tampil dengan tahap disiplin tinggi berbanding dua perlawanan sebelum ini.
"Biarpun saya akui sedikit terkilan dengan keputusan ini, namun itulah bola sepak dan kami harus bersyukur apabila mendapat yang terbaik dalam perlawanan ini.
"Pemain Selangor pula tidak berputus asa apabila bermain sehabis baik sehingga wisel penamat. Tahniah Selangor," katanya.
Kredit: Sinar Harian