SERIE A

Spalletti mahu Nainggolan tingkat prestasi

Penulis Jemputan 14/09/2018 | 23:20 MYT
Pengendali Inter Milan, Luciano Spalletti, mengakui dia mengharapkan agar Radja Nainggolan mempamerkan aksi yang lebih baik selepas berhijrah dari AS Roma.
Nainggolan menyertai Inter pada Jun lalu dan kembali bergabung dengan Spalletti, setelah sama-sama pernah berada dalam kem Roma.
Inter dilaporkan telah membayar yuran perpindahan berjumlah EUR23.5 juta (RM115 juta) bersama Davide Santon dan Nicolo Zaniolo untuk mendapatkan pemain berusia 30 tahun itu, namun dia hanya tampil dalam satu daripada tiga perlawanan Serie A, setakat ini.
Dia turut menjaringkan gol dalam penampilan berdepan Bologna itu tetapi Spalletti mahu bintang Belgium itu menambah sumbangan buat pasukan.
"Nainggolan adalah pemain yang kuat, sama seperti rakan sepasukan yang lain kerana jika tidak, dia tidak berada di sini," kata Spalletti.
"Dia lebih menyinar berbanding hanya menjaringkan gol. Aksi ketika berdepan Bologna adalah permainannya yang sebenar.
"Namun, berdasarkan statistik dan tahap konsisten yang dicatat dalam permainan, dia mampu bermain lebih baik.
"Pada akhir permainan, kami melihat kepada data prestasi. Dia mampu memberikan sesuatu untuk kami, terus meningkat tetapi dia adalah pemain yang boleh menghadirkan perbezaan."
Inter akan cuba mencatat kemenangan kedua berturut-turut pada malam ini apabila melayan kunjungan Parma tetapi mereka akan tampil tanpa penyerang berbakat, Lautaro Martinez, sambil Spalletti memberi bayangan penggempur itu bakal terlepas aksi pertama Liga Juara-Juara Eropah di laman sendiri menentang Tottenham Hotspur, awal pagi Rabu depan.
Kecederaan jangkitan pada betis menyebabkan bekas pemain Racing Club itu terpaksa gagal melalui permulaan yang baik dalam Serie A serta menghalangnya mewakili Argentina di peringkat antarabangsa.
"Keadaannya semakin meningkat. Dia semakin sembuh tetapi kami harus memantaunya.
"Menjelang aksi menentang Spurs, kami harus melihat terlebih dahulu. Secara jujur, saya rasa dia tidak akan beraksi kerana jika kecederaan itu tidak sembuh sepenuhnya, ia akan memberi kesan jangka panjang."
;