Pengurus baru Southampton, Ivan Juric, berikrar unutk memperagakan bola sepak 'death metal' dalam usahanya menyelamatkan The Saints tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Juric menjadi pilihan terbaru Southampton minggu lalu berikutan pemecatan Russell Martin.

Pengurus berbangsa Croatia itu yang dipecat oleh Roma awal musim ini muncul di tempat duduk penonton ketika Southampton seri 0-0 dengan Fulham, Sabtu lalu.

Mereka akan berdepan West Ham pada 'Boxing Day' dan Juric berjanji untuk membawa gaya permainan menghiburkan di St Mary's.



"Ketika saya masih muda, saya sangat menyukai muzik death metal dan saya fikir gaya bola sepak saya adalah seperti itu," katanya.

"Bekerja keras, memberi tekanan hebat, bermain bagus dan bersungguh-sungguh. Saya rasa pemain mampu melakukannya.

"Mereka masih muda, mereka positif, mereka mahu bekerja keras. Bukan mudah untuk menukar gaya permainan dengan serta-merta tapi kami harus bertindak bijak ."