LIGA INGGERIS

Solskjaer pilihan tepat untuk pulihkan United -- O'Shea

Penulis Jemputan 05/01/2019 | 02:48 MYT
John O'Shea cemburu melihat perkembangan Ole Gunnar Solskjaer ketika ini tetapi mengakui bekas rakan sepasukannya itu adalah pilihan tepat untuk memulihkan maruah Manchester United.
O'Shea bakal kembali ke Old Trafford malam ini bersama Reading bagi aksi pusingan ketiga Piala FA tatkala The Royals akan berdepan United yang sedang menyinar selepas pemecatan Jose Mourinho dan pelantikan Solskjaer selaku pengendali sementara.
Solskjaer telah mengemudi United meraih empat kemenangan berturut-turut, menyamai pencapaian rekod terbaik kelab milik Sir Matt Busby dan pantas mengubah suasana dalam bilik persalinan yang suram ditinggalkan Mourinho.
Bek tengah, O'Shea, yang kini berusia 37 tahun, boleh mengikut jejak langkah pengurus dari Norway itu untuk menceburi bidang kejurulatihan selepas bersara tetapi akur dia mungkin sukar mendapatkan kelab berdasarkan statusnya bersama United.
"Saya cemburu melihat Solskjaer. Lihat kepada pemain dan kelab yang dikendalikannya. Ia satu peluang hebat dan dia menerimanya dengan tangan terbuka," kata O'Shea.
"Solskjaer adalah individu tepat ketika ini berbekalkan prinsip kejayaan dan dia seharusnya menjadi calon utama untuk memegang jawatan itu secara tetap.
"Dia berada dalam radar pasukan tetapi menggunakan acuan Sir Alex Ferguson, Solskjaer membawa kesegaran tersendiri.
"Dia membuatkan perkara itu ringkas. Solskjaer mungkin lebih tertekan jika dinamakan sebagai pengurus seterusnya. Dia kini lebih bebas dengan status pengendali sementara."
United bergelut sejak Ferguson meninggalkan pasukan pada 2013 tatkala David Moyes, Louis Van Gaal dan terakhir, Mourinho, gagal untuk menterjemahkan kejayaan sama seperti pengurus dari Scotland itu.
"Saya sentiasa rasa bahawa sukar untuk menggantikan Sir Alex dan kejayaannya," tambah O'Shea.
"Saya rasa mereka boleh bersaing dengan lebih baik tetapi perlu dihormati juga perkembangan pasukan lain.
"Ia satu keseimbangan sebenarnya. Pengurus baru membawa masuk pemain yang ditandatangani, ada juga yang keluar dan tidak mudah untuk mendapatkan nama yang tepat tetapi disebabkan kejayaan dan kekuatan kewangan, saya rasa mereka semakin hampir."
;