Slot ulas kritikan terhadap Trent Alexander-Arnold
Shaiful Shamsudin
Januari 11, 2025 10:13 MYT
Januari 11, 2025 10:13 MYT
Arne Slot akur terhadap kepincangan jumlah gol yang dibolosi Liverpool musim ini tetapi bek kanan, Trent Alexander-Arnold, tidak seharusnya dipersalahkan.
Alexander-Arnold mengharungi perlawanan yang menyedihkan ketika The Reds seri 2-2 dengan Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), lantas dikritik hebat kerana persembahannya di Anfield.
Pemain antarabangsa England itu membuat hantaran lemah ke bahagian tengah yang dihukum dengan kejam oleh Lisandro Martinez untuk menjaringkan gol pembukaan.
Walaupun Cody Gakpo dan Mohamed Salah meletakkan Liverpool di hadapan, Amad Diallo menjaringkan jaringan penyamaan lewat permainan susulan satu lagi serangan ke arah sebelah kanan The Reds.
Dalam pertembungan itu, 54.6 peratus daripada serangan The Red Devils hadir menerusi sebelah kiri dengan mengeksploitasi kebolehan bertahan Alexander-Arnold.
Malah, 44 peratus serangan daripada seteru Liverpool itu hadir di kawasan sepertiga kiri tuan rumah dan ia yang merupakan jumlah tertinggi dalam EPL.
Peratusan peluang lawan di sebelah kanan Liverpool ialah 35.7 peratus, manakala 38.1 peratus lagi daripada sepertiga tengah dan sebelah kiri The Reds pula 26.2 peratus.
"Saya melihat corak tertentu dalam soal gol yang kami lepaskan tetapi saya tidak nampak sebarang kena mengena corak itu dengan Trent. Tidak sama sekali," katanya,
"Trent mengharungi satu perlawanan yang sukar menentang Manchester United di Anfield dan pernah juga menghasilkan beberapa perlawanan yang baik.
"Malah, dia menjelmakan persembahan yang hebat sepanjang musim ini."