Slot sahkan Liverpool hilang khidmat Jota hingga rehat antarabangsa
Muzaffar Musa
Oktober 30, 2024 14:32 MYT
Oktober 30, 2024 14:32 MYT
Arne Slot mmengesahkan bahawa Diogo Jota hanya akan dapat kembali mewakili Liverpool selepas waktu rehat antarabangsa tatkala penyerang itu masih perlu diketepikan berikutan kecederaan rusuk.
Jota terlepas dua perlawanan terakhir Liverpool selepas bertembung dengan pertahanan Chelsea, Tosin Adarabioyo, ketika mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas The Blues pada 20 Oktober lalu.
Pemain berusia 27 tahun itu juga kini tidak dapat menyertai empat perlawanan Liverpool selepas ini, termasuk aksi Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Brighton pada Rabu ini selain aksi di laman sendiri berdepan Bayer Leverkusen dan Aston Villa.
Pasukan bimbingan Slot itu juga akan bertandang ke Stadium Amex tanpa Alisson dan Harvey Elliott, yang masing-masing diketepikan gara-gara kecederaan paha dan retak tulang kaki, manakala Federico Chiesa pula masih bergelut dengan masalah kecergasaan sejak tiba dari Juventus.
Pengurus berbangsa Belanda itu mendedahkan pemain muda, Connor Bradley, mungkin akan ditampilkan menentang Brighton dan pasukan itu terpaksa menyesuaikan diri tanpa Jota dan Elliot sekurang-kurangnya sehingga penghujung bulan depan.
"Conor (Bradley) sedang berlatih bersama kami, jadi dia mungkin akan berada dalam skuad (bagi perlawanan Rabu ini).
"Jota tidak, Allison tidak, Harvey Elliott tidak dan Federico (Chiesa) tidak," kata Slot.
Ditanya sama ada Jota akan dapat kembali sebelum waktu rehat antarabangsa, pengurus The Reds itu menjawab: "Tidak, dia akan kembali selepas itu. Elliott juga sama."