Slot penjaga gol utama Chelsea kini jadi rebutan -- Potter

Ammar Hakim
Oktober 4, 2022 06:55 MYT
Graham Potter mencadangkan posisi penjaga gol utama Chelsea kini jadi rebutan walaupun Edouard Mendy telah kembali bersama pasukan.
Pengurus The Blues mengesahkan Mendy akan bersama skuad untuk aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri bertemu AC Milan, selepas diketepikan dalam dua perlawanan sebelum ini ekoran kecederaan lutut.
Potter turut mendedahkan Jorginho dan Kai Havertz mengalami ketidakselesaan berikutan kemenangan di Crystal Palace hujung minggu lalu namun berlatih menjelang menerima kunjungan Milan, manakala N’Golo Kante telah menampilkan perkembangan selepas mengalami kecederaan hamstring yang dialami sejak Ogos.
Bagaimanapun, Potter mungkin masih memilih untuk menurunkan Kepa Arrizabalaga di San Siro -- dan mungkin dalam beberapa minggu akan datang kerana dia enggan meletakkan sebarang label mengenai siapa penjaga pilihan pertamanya.
"Saya fikir jika anda melihat apa yang kami ada dalam tempoh enam minggu akan datang, ia adalah jadual yang luar biasa," kata Potter.
"Jadi saya tidak tergesa-gesa dalam membuat pemilihan. Saya mahu membantu Edouard cergas dan bersedia untuk bermain, yang dia lakukan dengan sangat baik setakat ini.
“Kemudian kami mempunyai dua penjaga gol, dan dalam dunia yang ideal anda mahu bola sepak membuat keputusan. Kami mempunyai dua yang sangat kami percayai dan itu adalah situasi yang sangat baik untuk kami.”
Walaupun perkembangan ditampilkan Kante, dia tidak akan tampil pada pertembungan awal pagi Khamis nanti, dedah Potter.
;