Slot: Awal lagi nak cakap potensi kejuaraan Liverpool

Shaiful Shamsudin
Disember 21, 2024 08:51 MYT
Arne Slot percaya masih terlalu awal untuk menilai peluang Liverpool mendakap mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL) memandangkan saingan musim ini masih berbaki separuh lagi.
The Reds menerajui puncak liga dengan dua mata di depan Chelsea menjelang sepak mula hujung minggu ini tatkala seteru yang dikendalikan oleh Enzo Maresca itu berkelebihan satu perlawanan.
Liverpool hanya tewas sekali di bawah bimbingan Slot sejak dia mengambil alih jawatan terbabit pada permulaan musim ini -– tumpas 0-1 kepada Nottingham Forest dan sejak itu, mereka belum tewas dalam 11 perlawanan walaupun tercicir mata dalam dua perlawanan terakhir.
Kemenangan ke atas Tottenham akan menyaksikan mereka menduduki tangga teratas EPL pada Krismas buat kali pertama sejak 2020-21.
Bagaimanapun, mereka hanya sekali berjaya memuktamadkan kejuaraan daripada tujuh kempen yang menyaksikan mereka menguasai puncak pada Krismas, iaitu pada 2019-20.
Walaupun kedudukan ketika ini kukuh, Slot enggan melihat terlalu jauh ke hadapan.
"Nilai kami selepas 19 perlawanan berikutan semua kelab telah berentap sesama sendiri," katanya kepada pemberita.

On target ? pic.twitter.com/80lka1UVSQ

— Liverpool FC (@LFC) December 20, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Mungkin kami agak bernasib baik. Contohnya, Arsenal mengutip banyak kad merah pada awal musim. Itulah sebabnya mereka kehilangan mata.
"Kami kini turut dilanda kad merah dan kami juga kehilangan mata. Kami bakal berdepan Tottenham di tempat lawan, di mana Arsenal pernah hadapinya pada awal musim; Chelsea juga sudah bermain di sana.
"Jangan lihat lagi kedudukan terkini kerana penentu kedudukan yang sebenar adalah di penghujung musim kelak."
#EPL
;