Skip to main content

Bola Sepak

Skuad Warga Kota rayu dibenar berpangkalan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kuala-lumpur-city.jpg
Juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City, mengulangi hasrat agar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras dapat dipulangkan kepada pihak yang berkepentingan demi kemajuan skuad Warga Kota.

Ia susulan mereka terpaksa berdepan situasi berliku dalam melakukan persediaan di atas padang yang kurang baik, secara tidak langsung menjejaskan prestasi pasukan. 

Kuala Lumpur City kini berlatih di Pudu Ulu yang serba kekurangan hingga menyebabkan kecederaan kepada barisan kendalian Bojan Hodak. 

"Bojan Hodak merungut padang di Pulu Ulu keras, banyak (mendatangkan) kecederaan kepada pemain. Paulo (Josue) ditimpa kecederaan ringan ketika berlatih sebelum dilanda kecederaan lebih serius dalam perlawanan sebenar hingga terpaksa dikeluarkan," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad.




Lantas, mereka berharap agar pihak swasta yang diamanahkan untuk menyelenggara venue berkenaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya mengenai perkara ini memandangkan mereka masih mempunyai kontrak hingga 2024.

Bagaimanapun, syarikat terbabit ketika ditemui krew Nadi Arena belum bersedia untuk memberi reaksi lanjut berhubung rayuan berkenaan. 

"Dekat mana-mana di dunia (contohnya) Old Trafford dan Anfield, pihak ketiga ada ambil?

"Ia simbol kelab, ia jauh daripada sekadar kemudahan. Ketika kemenangan (hatrik) Piala Malaysia pada (lewat) 1980-an, (Presiden KLFA) Tan Sri Elyas Omar memutuskan untuk membina stadium ini. Kalau balik kepada sejarah, KL bermain di Stadium Merdeka, 1988 stadium ini dibina. Kelab ini ada sejarah. 

"Jadi sepatutnya (hak diberi) balik kalau tidak ke Kuala Lumpur City, balik ke DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) terlebih dahulu," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City, Stanley Bernard. 
 

Advertisement

Must Watch Video